“Surat Sokongan” Rahsia: Siapa Bohong dan Siapa Bercakap Benar?

KENYATAAN MEDIA

“Surat Sokongan” Rahsia: Siapa Bohong dan Siapa Bercakap Benar?

Saya rujuk laporan Malaysiakini “Zahid didn’t tell police about FBI letter” yang memetik sumber Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang berkata Menteri Dalam Negeri, DS Zahid Hamidi tidak merujuk pihak PDRM sebelum menghantar “surat sokongan” rahsia kepada FBI berkenaan status “raja judi” Paul Phua Wei-seng.

Laporan tersebut juga memetik sumber PDRM sebagai berkata laporan PDRM yang diberi kepada FBI berkenaan Paul Phua Wei-seng dan kumpulan kongsi gelap 14K adalah benar.

Jika sumber yang dipetik Malaysiakini itu sahih dan benar, perkara ini cukup mengejutkan dan implikasinya amatlah berat bukan sahaja kepada DS Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri yang telah menulis surat rahsia tersebut, tetapi juga kepada DS Shafee Abdullah yang telah berkata bahawa laporan PDRM mengenai Paul Phua Wei-seng adalah tidak betul.

Masanya telah tiba untuk DS Zahid Hamidi menjawab secara terbuka tentang pelbagai isu yang telah timbul akibat “surat sokongan” rahsia ini, untuk mengelak spekulasi dari terus bermain di fikiran rakyat Malaysia. Saya juga berharap DS Najib dan Kabinet yang akan bertemu esok (Rabu) akan pastikan DS Zahid akan tampil dengan jawapan yang jelas kepada isu ini.

Pada masa yang sama, jika sumber PDRM yang dipetik Malaysiakini ini sahih dan benar, DS Shafee Abdullah juga perlu disoal mengapa apa yang beliau sebut berlainan dari apa yang disebut sumber PDRM ini. Siapakah yang benar dalam isu ini?

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap Naib Ketua AMK

6 Januari 2015

Surat Rahsia: DS Zahid Perlu Segera Beri Penjelasan

KENYATAAN MEDIA

Surat Rahsia: DS Zahid Perlu Segera Beri Penjelasan

Saya mengikuti perkembangan isu surat rahsia DS Zahid Hamidi kepada FBI mengenai Paul Phua Wei-seng, termasuk kenyataan yang dibuat DS Shafee Abdullah semalam. Saya ingin berterima kasih kepada DS Shafee kerana walaupun Menteri Dalam Negeri belum menjawab, peguam UMNO nombor satu telah menjawab salah satu soalan yang saya tujukan kepada DS Zahid.

Berdasarkan kenyataan DS Shafee, kita kini tahu bahawa surat rahsia DS Zahid kepada FBI yang didedahkan South China Morning Post adalah sahih dan benar.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini DS Zahid Hamidi masih memilih untuk berdiam diri dan belum menjawab apakah “projek-projek berkaitan keselamatan negara” yang dibantu Paul Phua, dan mengapa DS Zahid mampu mengeluarkan surat untuk seorang seperti Paul Phua tetapi tidak berkata apa-apa apabila Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap Dr Yusuf Al-Qaradawi, Tokoh Maal Hijrah yang diiktiraf Kerajaan Malaysia.

Beberapa orang Ahli Parlimen juga telah persoalkan bagaimana seorang menteri kabinet telah mengeluarkan surat seperti ini bukan di atas nasihat Peguam Negara, tetapi di atas nasihat peguam persendirian. Adakah ini satu “Standard Operating Procedure” ataupun kebiasaan bagi menteri-menteri?

Seharusnya DS Zahid lebih proaktif memberi penjelasan mengenai isu-isu ini. Malah sekiranya DS Zahid terus memilih untuk berdiam diri, beliau seakan mengiakan persepsi yang telah timbul bahawa beliau sedang mempertahankan seorang yang pernah ditangkap dan diusir dari Macau kerana aktiviti perjudian, dan sedang didakwa di mahkamah Amerika Syarikat kerana aktiviti perjudian.

Walaupun dalam satu kenyataan kepada Kwong Wah Yit Poh hari ini DS Zahid berkata 14K Triad tidak wujud di Malaysia, tetapi bolehkah DS Zahid mengesahkan samada Paul Phua seorang ahli 14K Triad atau tidak? Adakah ini tidak bercanggah dengan laporan PDRM yang digunapakai FBI dalam kes terhadap Paul Phua?

Mengikut data daripada Global Financial Integrity, Malaysia telah kehilangan RM170 bilion akibat pengeluaran wang secara haram pada 2012, termasuklah pengubahan wang haram (money laundering) di mana aktiviti perjudian merupakan salah satu kaedah wang haram diubah. Tidak mustahil kumpulan-kumpulan kongsi gelap terlibat dalam aktiviti ini.

Oleh itu, saya meminta DS Zahid untuk menjelaskan pernahkah Paul Phua ditangkap dan/atau didakwa di Malaysia kerana aktiviti jenayah seperti perjudian atau pengubahan wang haram (money laundering)?

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi merangkap Naib Ketua AMK

4 Januari 2015