Kenyataan Pra-matang Najib Tentang Sirul Mencurigakan dan Wajib Disiasat

KENYATAAN MEDIA

Kenyataan Pra-matang Najib Tentang Sirul Mencurigakan dan Wajib Disiasat

Kenyataan DS Najib Razak hari ini bahawa mustahil (“utter rubbish”) Sirul “bertindak mengikut arahan” (“acted under orders”) untuk membunuh Altantuya Sharibuu adalah satu kenyataan yang pra-matang, mencurigakan dan wajib disiasat Polis Di-Raja Malaysia.

Ini kerana DS Najib sebelum ini pernah mengaku malah bersumpah tidak mengenali wanita bernama Altantuya Sharibuu; jika benar beliau tidak mengenali dan tiada apa-apa kaitan, mengapa beliau memberi komen sebegini? Dan adakah beliau mempunyai maklumat lebih dari apa yang diketahui umum tentang perlakuan Sirul sehingga dapat memberi kesimpulan sebegitu?

Komen ini menimbulkan satu persepsi di khalayak ramai bahawa ada sesuatu yang tidak kena di dalam isu ini.

Sama seperti rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya juga berharap pihak berkuasa tidak akan berlengah untuk menyiasat perkara ini.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi
Naib Ketua Angkata Muda KEADILAN

19 Februari 2015

“Surat Sokongan” Rahsia: Siapa Bohong dan Siapa Bercakap Benar?

KENYATAAN MEDIA

“Surat Sokongan” Rahsia: Siapa Bohong dan Siapa Bercakap Benar?

Saya rujuk laporan Malaysiakini “Zahid didn’t tell police about FBI letter” yang memetik sumber Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang berkata Menteri Dalam Negeri, DS Zahid Hamidi tidak merujuk pihak PDRM sebelum menghantar “surat sokongan” rahsia kepada FBI berkenaan status “raja judi” Paul Phua Wei-seng.

Laporan tersebut juga memetik sumber PDRM sebagai berkata laporan PDRM yang diberi kepada FBI berkenaan Paul Phua Wei-seng dan kumpulan kongsi gelap 14K adalah benar.

Jika sumber yang dipetik Malaysiakini itu sahih dan benar, perkara ini cukup mengejutkan dan implikasinya amatlah berat bukan sahaja kepada DS Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri yang telah menulis surat rahsia tersebut, tetapi juga kepada DS Shafee Abdullah yang telah berkata bahawa laporan PDRM mengenai Paul Phua Wei-seng adalah tidak betul.

Masanya telah tiba untuk DS Zahid Hamidi menjawab secara terbuka tentang pelbagai isu yang telah timbul akibat “surat sokongan” rahsia ini, untuk mengelak spekulasi dari terus bermain di fikiran rakyat Malaysia. Saya juga berharap DS Najib dan Kabinet yang akan bertemu esok (Rabu) akan pastikan DS Zahid akan tampil dengan jawapan yang jelas kepada isu ini.

Pada masa yang sama, jika sumber PDRM yang dipetik Malaysiakini ini sahih dan benar, DS Shafee Abdullah juga perlu disoal mengapa apa yang beliau sebut berlainan dari apa yang disebut sumber PDRM ini. Siapakah yang benar dalam isu ini?

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap Naib Ketua AMK

6 Januari 2015

Akta Hasutan Kekal Bukti Iltizam Politik Najib Lemah

IMG_6016.JPG

Saya cuma ingin memetik kata-kata WS Rendra, penyajak dan budayawan tersohor Indonesia:

“Kesadaran adalah matahari
Kesabaran adalah bumi
Keberanian menjadi cakrawala
Dan perjuangan
adalah pelaksanaan kata-kata.”

Jangan bersedih, Malaysia. Ayuh terus kita berjuang, demi masa depan yang lebih baik untuk semua.

Dua Minggu Setengah Hingga Keputusan Yang Menentu Halatuju Politik Negara

KENYATAAN MEDIA

Dua Minggu Setengah Hingga Keputusan Yang Menentu Halatuju Politik Negara

Umum sedia maklum tinggal dua minggu setengah sahaja ke tarikh perbicaraan dan kemungkinan besar keputusan penghakiman kes Fitnah 2 terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di mana akan diputuskan sama ada beliau terus bebas atau dimasukkan ke penjara.

Lebih seminggu yang lalu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) telah memulakan kempen “countdown” di media sosial rasmi AMK (Twitter: @amkmalaysia dan Facebook: amkeadilan) serta laman media sosial rasmi pimpinan KEADILAN untuk menyemarakkan semangat Reformasi dan perjuangan sejak lebih 15 tahun lalu yang perlu diteruskan, demi Rakyat dan masa depan negara yang lebih baik. Pengumuman mengenai kempen-kempen selanjutkan akan dibuat dalam masa yang terdekat.

Dalam dua minggu setengah yang akan datang ini, tatkala Rakyat mendepani hari-hari harga minyak dan harga barang yang semakin naik tetapi gaji terus mendatar, berserta cukai GST yang bakal dimulakan April 2015, masa depan demokrasi dan halatuju politik di Malaysia akan ditentukan.

Tatkala Bajet 2015 dan pelbagai Rang Undang-Undang yang mendatangkan kesan kepada nusa dan bangsa akan dibahas di Parlimen, Ketua Pembangkang dan Ketua Umum KEADILAN mungkin akan ditamatkan hayat politiknya, yang secara langsung meneruskan hegemoni kekuasaan puak pemerintah yang bagai belum terjaga dari lena yang mengakibatkan bersuaranya lebih 52% pengundi di PRU13 yang lalu.

Dalam dua minggu setengah yang akan datang ini, seluruh media dunia akan meletakkan Malaysia dan Putrajaya khususnya di bawah kaca pembesar untuk melihat sama ada demokrasi di negara ini semakin sihat atau bertambah tenat.

Oleh itu, kita perlu bersedia, berdoa, bersabar dan terus istiqamah dalam menghadapi dua minggu setengah yang paling genting dalam sejarah politik moden negara ini.

Putrajaya, sedarlah bahawa Rakyat dan Dunia sedang memerhatimu.

Fahmi Fadzil
Naib Ketua AMK

11 Oktober 2014

Hentikan “Langkah Akta Hasutan” yang Mengongkong Kebebasan Bersuara, Berfikir Golongan Akademik

KENYATAAN MEDIA

HENTIKAN “LANGKAH AKTA HASUTAN” YANG MENGONGKONG KEBEBASAN BERSUARA, BERFIKIR GOLONGAN AKADEMIK

Umum sedia maklum laporan media yang menyatakan Dr Aziz Bari, ahli akademik dan pakar perlembagaan telah dipanggil untuk diambil keterangan di Balai Polis Sabak Bernam esok berkaitan dua laporan media yang memetik komen beliau mengenai krisis Menteri Besar Selangor yang baru sahaja berlalu.

Walaupun saya tidak terkejut dengan perkembangan ini, namun ia tetap merupakan perkembangan yang tidak sihat di mana Dr Aziz Bari merupakan ahli akademik kedua disiasat di bawah Akta Hasutan 1948. Akta kukubesi buatan penjajah British ini makin kerap digunapakai pentadbiran Najib Razak untuk mengongkong kebebasan bersuara dan kebebasan berfikir para akademik di Malaysia, dan kelihatan seperti dituju khas kepada semua yang tidak sehaluan dengan beliau. Ia merupakan langkah yang tidak baik bukan sahaja untuk golongan akademik dan mahasiswa, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyokong dan berdiri bersama Dr Aziz Bari. Kami salut keberanian beliau untuk melontarkan pandangan yang mungkin tidak disenangi pemerintah, dan kami hormati pendirian beliau untuk bersuara bukan sahaja sebagai seorang ahli akademik yang mendidik anak muda masa depan negara tetapi juga sebagai seorang pakar perlembagaan yang mana buah fikiran beliau amat diperlukan demi memahami dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Saya percaya ramai yang cukup hairan, tatkala DS Najib Razak mengagungkan pengiktirafan terhadap Malaysia yang diberi Presiden AS Barack Obama baru-baru ini, nama baik Malaysia tercemar dek siasatan dan pendakwaan di bawah Akta Hasutan yang berterusan seakan tanpa penghujungnya.

Oleh itu saya menggesa pentadbiran Najib Razak untuk segera menghentikan “Langkah Akta Hasutan” ini, termasuk menghentikan kesemua pendakwaan yang sedang berjalan, demi masa depan demokrasi, masa depan pendidikan, dan nama baik negara.

Saya juga menggesa Peguam Negara TS Gani Patail untuk memaklumkan status terkini kajian semula terhadap kes-kes pendakwaan di bawah Akta Hasutan termasuk kes terhadap pensyarah undang-undang Azmi Shahrom yang beliau sebut pada 9 September yang lalu.

Fahmi Fadzil
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN

30 September 2014

Kenyataan Ku Nan tentang kenapa harga barang naik tidak bertanggungjawab

KENYATAAN MEDIA
19 Januari 2014

KENYATAAN KU NAN TENTANG KENAPA HARGA BARANG NAIK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Kenyataan yang dibuat DS Tengku Adnan semalam yang menyelar ‘orang tengah’ yang kononnya cuba menimbulkan kebencian terhadap kerajaan BN adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan amat dikesali, lebih-lebih lagi apabila Menteri membuat andaian bahawa pihak yang menaikkan harga adalah terdiri daripada penyokong Pakatan Rakyat.

Kenyataan Menteri ini adalah cubaan untuk mengalih pandangan umum daripada isu sebenar, bahawa kenaikan harga barang timbul daripada kegagalan dasar pentadbiran DS Najib Razak untuk menangani kenaikan inflasi yang mendadak. Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim telah mengingatkan rakyat dalam kenyataan beliau tempoh hari bahawa kadar inflasi di Malaysia telah meningkat dari 1.2% pada Disember 2012 ke 2.9% pada November 2013, iaitu peningkatan 2.4 kali ganda.

Ku Nan dan kerajaan UMNO-BN perlu menghentikan retorik yang tidak berasas seperti ini dan sebaliknya berusaha untuk mengetengahkan idea-idea dan dasar-dasar yang dapat menangani isu inflasi dengan efektif. Harga petrol patut diturunkan, monopoli gula yang dipegang Syed Mokhtar perlu dipecahkan, dan pelbagai kenaikan yang dicadangkan seperti kadar tol, tarif elektrik, dan cukai GST wajib ditarikbalik. Sekurang-kurangnya kerajaan UMNO-BN wajib menangani ketirisan dan rasuah yang mengakibatkan berbilion ringgit wang Rakyat lesap begitu sahaja, seperti yang dilaporkan saban tahun dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

PRESS STATEMENT
19 January 2014

STATEMENT BY KU NAN ON REASON FOR PRICE INCREASE IS IRRESPONSIBLE

The statement made by DS Tengku Adnan yesterday that claimed ‘middlemen’ were inciting hatred towards the Barisan Nasional government is irresponsible, unfounded and regrettable, especially when the minister assumes that those raising prices were Pakatan Rakyat supporters.

The minister’s statement is a blatant attempt to shift the public’s attention away from the crux of the matter, which is that prices have shot up due to the failure of the Najib administration’s failure to implement policies that can effectively keep inflation in check. As highlighted by the Leader of the Opposition, DS Anwar Ibrahim several days ago, inflation in Malaysia has increased 2.4 times between December 2012 (1.2%) and November 2013 (2.9%).

Instead of employing baseless rhetoric like this, Ku Nan and the UMNO-BN government should instead seriously endeavor to put forward ideas and policies that can effectively attend to the issue of rising inflation. Petrol prices should be dropped, the sugar monopoly held by Syed Mokhtar should be broken, and the various proposals to increase toll rates, electricity tariffs, and the GST should be withdrawn. At the very least, UMNO-BN should focus all its energy on combating leakages and corruption that has cost the Rakyat billions each year, as reported in the Auditor-General’s Report.

Fahmi Fadzil
KEADILAN Communications Director

Post-Mortem Tiga Acara Pembuka Tirai 2014

Seminggu telah berlalu sejak kita menyambut tahun baru. Walaupun baru seminggu, namun rakyat telah menyaksikan tiga “acara” yang mungkin menetapkan ritma bagi tahun 2014: protes #turun di ambang tahun baru, protes #penselmerah oleh para pengamal media dan penyokong kebebasan media pada 4hb Januari, dan protes terhadap gereja di Klang oleh UMNO dan NGO yang sewaktu dengannya pada 5hb Januari.

Tiga “acara” ini membawa makna, erti, dan implikasi politik yang berbeza kepada senario politik Malaysia. Maka, bukan sahaja wajib kita lakukan post-mortem untuk mengetahui mengapa kita menang atau kalah di mana-mana satu kerusi sewaktu PRU13 yang lalu, kita wajib melakukan post-mortem buat ketiga-tiga “acara” ini (dan yang lain, semestinya) agar dapat kita fahami kesannya serta bagaimana untuk ke depan.

#Turun
Selepas memperoleh 47% undi popular dalam PRU13, Perdana Menteri DS Najib Razak telah melakukan langkah drastik dengan menarik subsidi dan menaikkan harga petrol, gula, tarif elektrik, malah dikhabarkan harga tiket LRT dan monorel, kadar cukai pintu, dan kadar tol juga turut bakal dinaikkan. Juga GST!

Rakyat jelas menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran DS Najib, dan protes #turun adalah manifestasi perasaan tersebut.

Walaupun pelbagai cara seperti berita (baca: propaganda) terjumpanya “bom tangan” dan bilah-bilah parang serta komplot untuk “menggulingkan” kerajaan telah diguna untuk “menasihati” rakyat agar jangan turun ke Dataran Merdeka pada 31hb Disember, begitu ramai rakyat Malaysia telah turun untuk menyuarakan bantahan terhadap kenaikan kos sara hidup.Ada di antara mereka yang dikatakan turut berguling-guling di padang Dataran, tapi tiada kerajaan yang digulingkan malam itu.

Yang jelas di sini rakyat telah marah kerana harga barang naik. Putrajaya pula tidak memahami isi hati rakyat, malah tersilap langkah dalam pengumuman 11 langkah penjimatan belanja kerajaan – jumlah penjimatan tidak disebut, malah perkara-perkara besar yang sepatutnya dipotong seperti disebut sdr Rafizi Ramli langsung tidak disentuh.

Apa yang sepatutnya kerajaan lakukan? Pada hemat saya, kerajaan patut menangguhkan kenaikan harga gula, petrol, elektrik dll; memansuhkan PEMANDU; melaksanakan langkah tegas untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan. Dengan kata lain: lakukan reformasi yang tulen dalam politik dan ekonomi negara.

“Acara” seperti #turun ini sudah pasti akan berulang, selagi hidup rakyat terbeban akibat dasar-dasar kerajaan yang tidak prihatin terhadap nasib rakyat.

#penselmerah
Penggantungan akhbar mingguan The Heat pada 19hb Disember 2013 telah mengejutkan warga pengamal media di Malaysia. Penggantungan yang dikaitkan dengan laporan mengenai perbelanjaan DS Najib dan isteri telah menjadi pemangkin yang menyatukan para pengamal media.

Saya sendiri agak terkejut melihat begitu teman-teman wartawan yang biasanya sibuk menulis berita kini beramai-ramai mengangkat sepanduk, berarak dan mematahkan pensel merah di dataran menara jam di hadapan Bar Council, KL.

Walaupun pihak berkuasa tidak menghalang protes tersebut, kenyataan Ketua Polis KL yang dipetik Malaysiakini bahawa penganjur tidak memohon permit untuk protes adalah tidak tepat: kini dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012 permit tidak lagi diperlukan untuk berhimpun secara aman, PDRM cuma perlu dimaklumkan. Isu permit ini sering dibangkitkan setiap kali perhimpunan diadakan.

Dan jika kerajaan tetap menggantung akhbar The Heat serta tidak menghiraukan desakan #penselmerah, kemungkinan besar satu lagi protes menuntut kebebasan media akan berlaku.

Persoalan menarik: Adakah kita akan menyaksikan “hartal” para pengamal media satu hari nanti?

Protes UMNO
Apabila berlaku rampasan Bible oleh JAIS pada 2hb Januari yang lalu, pelbagai pihak telah menyuarakan pendapat tentang isu dasar ‘kalimah Allah’ dan tindakan JAIS.

Walaupun UMNO Selangor pada mulanya mengharamkan ahlinya dari mengadakan protes di hadapan gereja di Klang pada 5hb Januari, namun arahan tersebut (sengaja?) tidak dipatuhi apabila dilaporkan ahli UMNO bersama NGO-NGO telah mengadakan berkumpul di sebuah padang berdekatan gereja tersebut.

Syukur tiada insiden keganasan berlaku.

Kini, ramai yang berkata Najib sendiri tidak mengendahkan langkah penyelesaian ’10 perkara’ yang dipersetujui Kabinet pasca serbuan JAIS ke atas premis DUMC pada Ogos 2011. Malah beliau tidak menyanggah langsung Timbalan Perdana Menteri yang menyokong protes UMNO Selangor pada awalnya. Adakah ini susuk seorang negarawan?

Bagi rakyat Malaysia beragama Kristian, terutama yang berasal dari Sabah dan Sarawak, keadaan kelihatan semakin parah. Bagi puak politik perkauman, hujah agama seperti yang dibawa teman-teman dalam PAS tidak diendahkan.

Pendirian parti adalah jelas, seperti yang disebut Ketua Umum DS Anwar Ibrahim 5hb Januari yang lalu: jika benar pihak Bible Society of Malaysia telah melakukan satu kesalahan, JAIS sepatutnya memanggil mereka untuk memberikan penjelasan.

Tugas kita sebagai rakyat yang bersemangat reformis adalah untuk mencari jalan penyelesaian yang dapat memperbaiki hubungan masyarakat, dan pada masa yang sama memastikan keadilan tertegak untuk semua pihak.

Semoga tahun 2014 akan membawa kita setapak lebih dekat menuju Malaysia yang lebih baik.

(Pertama kali diterbitkan di Suara Keadilan pada 7hb Januari 2014)