Adakah DS Zahid Menteri Dalam Negeri Pertama Menulis Surat Kepada FBI?

KENYATAAN MEDIA

Adakah DS Zahid Menteri Dalam Negeri Pertama Menulis Surat Kepada FBI?

Laporan berita Malaysiakini hari ini bertajuk “I never wrote to FBI, confirms Syed Hamid” telah memetik mantan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai berkata beliau tidak pernah menulis sebarang surat kepada pihak FBI seperti surat yang ditulis Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Laporan tersebut turut berkata bahawa mantan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Panglima Hishammuddin Tun Hussein juga tidak pernah menulis surat kepada pihak FBI seperti yang dibuat DS Zahid.

Maka ramai yang ingin tahu, adakah DS Zahid Menteri Dalam Negeri yang pertama untuk berbuat sedemikian? Adakah wujud satu “Standard Operating Procedure” (SOP) bagi menteri-menteri kabinet untuk menulis surat kepada mana-mana badan atau organisasi atas nasihat peguam yang bukan Peguam Negara, seperti surat yang ditulis DS Zahid ini?

Saya berdoa agar DS Zahid akan dikurniakan keberanian untuk menjawab soalan-soalan ini, dan tidak berselindung disebalik alasan teknik dan undang-undang kukubesi seperti yang dibuat sebelum ini.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap
Naib Ketua Angkata Muda KEADILAN

23 Januari 2015

Advertisements

Datuk Seri Zahid Masih Belum Perjelas Isu, Cuma Berselindung Disebalik Alasan Teknik

KENYATAAN MEDIA
Datuk Seri Zahid Masih Belum Perjelas Isu, Cuma Berselindung Disebalik Alasan Teknik
Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri kerana akhirnya beliau memilih untuk tidak berdiam diri lagi dalam isu ini. Ini merupakan kali pertama Datuk Seri Zahid secara rasmi dan terbuka mengakui telah menghantar sepucuk surat bertarikh 18 Disember 2014 kepada pihak Federal Bureau of Investigations (FBI), Amerika Syarikat berkenaan status seorang yang bernama Paul Phua Wei-seng.
Namun, jawapan-jawapan Datuk Seri Zahid hari ini cukup menghampakan dan hanya berselindung disebalik alasan-alasan tatabahasa dan teknik (grammatical and technical excuses).
Malah kenyataan Datuk Seri Zahid bahawa beliau tidak dapat memberi sebarang penjelasan berkaitan “projek-projek keselamatan negara” yang kononnya melibatkan Paul Phua hanyalah usaha untuk berselindung disebalik Akta Rahsia Rasmi 1972. Akta kukubesi ini selalu diguna pemerintah untuk tidak menjawab atau mengetepikan pelbagai isu yang mana rakyat dahagakan penjelasan, seperti tarif tol, air dan sebagainya.
Walau apa pun, kenyataan Datuk Seri Zahid hari ini masih tidak soalan-soalan berikut secara substantif dan menyeluruh:
1. Adakah Paul Phua Wei-seng seorang anggota kongsi gelap “14K”, tidak kira sama di Malaysia atau di mana sahaja?
2. Pernahkah Paul Phua ini ditangkap dan/atau didakwa atas apa-apa kesalahan di Malaysia?
3. Adakah Datuk Seri Zahid telah mendapatkan nasihat dan pendapat daripada Peguam Negara sebelum mengeluarkan surat tersebut?
Tambahan pula, oleh sebab Datuk Seri Zahid berkata surat tersebut bukanlah “surat sokongan untuk tidak mendakwa Paul Phua”, mengapakah surat beliau kepada FBI dengan jelas menggunakan ayat “kami berhasrat benar untuk beliau pulang ke Malaysia” (“we are eager for him to return to Malaysia”)? Melihat frasa ini di dalam konteks keseluruhan ayat tersebut, bukankah ini menunjukkan niat Datuk Seri Zahid agar Paul Phua tidak didakwa di mahkamah Amerika Syarikat?
Saya dan rakan-rakan seperjuangan di dalam KEADILAN dan Pakatan Rakyat berharap Datuk Seri Zahid dapat memberikan penjelasan yang lebih menyeluruh, dan akan terus berusaha untuk mendapatkan penjelasan tersebut.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
15 Januari 2015

“Surat Sokongan” Rahsia: Siapa Bohong dan Siapa Bercakap Benar?

KENYATAAN MEDIA

“Surat Sokongan” Rahsia: Siapa Bohong dan Siapa Bercakap Benar?

Saya rujuk laporan Malaysiakini “Zahid didn’t tell police about FBI letter” yang memetik sumber Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang berkata Menteri Dalam Negeri, DS Zahid Hamidi tidak merujuk pihak PDRM sebelum menghantar “surat sokongan” rahsia kepada FBI berkenaan status “raja judi” Paul Phua Wei-seng.

Laporan tersebut juga memetik sumber PDRM sebagai berkata laporan PDRM yang diberi kepada FBI berkenaan Paul Phua Wei-seng dan kumpulan kongsi gelap 14K adalah benar.

Jika sumber yang dipetik Malaysiakini itu sahih dan benar, perkara ini cukup mengejutkan dan implikasinya amatlah berat bukan sahaja kepada DS Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri yang telah menulis surat rahsia tersebut, tetapi juga kepada DS Shafee Abdullah yang telah berkata bahawa laporan PDRM mengenai Paul Phua Wei-seng adalah tidak betul.

Masanya telah tiba untuk DS Zahid Hamidi menjawab secara terbuka tentang pelbagai isu yang telah timbul akibat “surat sokongan” rahsia ini, untuk mengelak spekulasi dari terus bermain di fikiran rakyat Malaysia. Saya juga berharap DS Najib dan Kabinet yang akan bertemu esok (Rabu) akan pastikan DS Zahid akan tampil dengan jawapan yang jelas kepada isu ini.

Pada masa yang sama, jika sumber PDRM yang dipetik Malaysiakini ini sahih dan benar, DS Shafee Abdullah juga perlu disoal mengapa apa yang beliau sebut berlainan dari apa yang disebut sumber PDRM ini. Siapakah yang benar dalam isu ini?

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap Naib Ketua AMK

6 Januari 2015