Melayu mana yang diselamatkan?

Saban tahun, di ambang Perhimpunan Agung UMNO, akan berkumandanglah slogan-slogan seperti “Selamatkan Melayu!”, “Hidup Melayu!” dan yang sewaktu dengannya.

Namun, apabila kita diingatkan bahawa UMNO telah wujud selama hampir tujuh dekad dan telah meneraju kepimpinan negara sejak Merdeka, kita akan sedar bahawa di antara slogan yang dilaung dan realiti yang dihadapi sehari-hari wujud kesenjangan yang amat ketara.

Sewaktu pelancaran konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan pada 23 November 2014, DS Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengeluarkan statistik bahawa 200 tahun lalu orang Melayu memiliki 100% tanah di Kuala Lumpur, namun angka tersebut kini telah merudum ke 21.7%. Beliau juga mengakui bahawa 90% daripada 42,000 orang penyewa unit rumah DBKL adalah orang Melayu, yang tidak mampu memiliki rumah di ibukota yang nilainya RM300,000 ke atas.

Apabila kita amati apa yang disebut Setiausaha Agung UMNO itu sendiri, adakah UMNO telah berjaya mempertahankan kepentingan dan masa depan orang Melayu, sama ada di Kuala Lumpur mahupun di Malaysia amnya? Atau adakah kepentingan dan masa depan satu kelompok orang Melayu elit sahaja yang dipertahankan? Dengan kata lain, Melayu mana yang di-“Selamatkan”?

Apabila kita baca angka-angka yang disebut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan sendiri, tidakkah kita akan bertanya: Apa yang telah UMNO lakukan sehingga nasib orang Melayu menjadi sebegini rupa? Adakah orang Melayu semakin kukuh kedudukannya, atau adakah sekelompok “kawan-kawan rapat” pimpinan teratas parti itu yang semakin kukuh kedudukannya? Dengan kata lain, Melayu mana yang “Hidup”?

Sebagai seorang anak Melayu, yang mana arwah atuk dan nenek saya cukup kuat bergerak dengan pejuang-pejuang awal UMNO, saya sendiri bertanya: apa sudah jadi dengan UMNO hari ini? Jika arwah atuk dan nenek saya masih ada, adakah mereka akan kenal dan setuju dengan “perjuangan” yang diangkat di kala ini?

DS Hishammuddin Hussein ada berkata bahawa UMNO tidak perlu memohon maaf kerana mempertahankan isu-isu seperti agama Islam, kaum Melayu, dan raja-raja Melayu.

Tapi bagi saya, UMNO sebenarnya perlu memohon maaf kepada kaum Melayu sendiri, kerana parti itu seakan sudah tidak mampu memperjuangkan nasib orang Melayu. Buktinya ada pada apa yang disebut Tengku Adnan sendiri (dan beliau tidak menyentuh berapa peratus orang Melayu yang masih hidup dibawah paras kemiskinan).

Bagi saya, rubrik atau kerangka perkauman yang digunapakai UMNO sudah tidak mampu untuk menangani isu-isu dasar yang dihadapi bukan sahaja oleh satu kaum tetapi rakyat terbanyak.

Bagi saya, orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, dan semua yang cintakan Malaysia perlu mencari kerangka baru untuk mengolah dasar bersama yang lebih baik, lebih adil, lebih saksama bukan sahaja untuk sesuatu kaum, tetapi untuk memastikan di dalam setiap kaum itu kumpulan-kumpulan yang paling memerlukan akan menerima bantuan yang adil dan saksama.

Bagi saya, ungkapan atau retorik politik yang berteraskan ketakutan perlu diketepi demi mencari jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh kepada masalah-masalah yang kita hadapi dewasa ini.

Kita tidak punya masa yang banyak. Hutang isi rumah makin bertambah (lebih 80% KDNK), hutang negara makin menggunung (hampir mencecah 55% KDNK). Harga minyak mentah di pasaran dunia kian merudum; oleh kerana jualan minyak mentah mewakili 30% pendapatan kerajaan, satu langkah penyelesaian yang mampan untuk mengatasi isu ini perlu dicari dengan cepat (bagi saya, tidak bermoral jika pemerintah membebankan rakyat dengan cukai GST jika ratusan juta ringgit terus tiris).

Pada masa yang sama, elemen-elemen ekstremis terus berusaha untuk memecahbelah perpaduan dan mempersoal kemajmukan rakyat Malaysia; perpaduan dan kemajmukan ini bukanlah satu kemudaratan atau kelemahan, tetapi ia adalah aset kita untuk menjadi ‘thought leader’ yang mampu menetapkan ritma kepemimpinan di antara negara-negara ASEAN.

Tatkala Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, dan ketika Komuniti Ekonomi ASEAN bakal menjadi realiti, kita perlukan pimpinan parti-parti politik yang dapat menyatukan kita dan memberikan kita fokus dalam menghadapi perubahan dinamik geopolitik di rantau Asia Tenggara dan dunia amnya. Kita perlukan pimpinan yang perjuangkan nasib rakyat terbanyak, dan mencari keadilan untuk semua kaum dan semua kelompok. Kita perlukan pimpinan yang akan berjuang untuk “Selamatkan” bukan sahaja satu kaum atau satu kelompok, tapi satu Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s