Respon kepada artikel Politik ‘hit and run’ pembangkang oleh Zulkifli Jalil

Kalau pembangkang dikatakan menggunakan taktik ‘hit and run’, pihak kerajaan BN pula boleh dikatakan terkenal dengan taktik ‘throw and hide’ atau ‘baling sembunyi tangan’.

Seorang penduduk Bangsar warga emas yang juga bekas pegawai kerajaan, setelah membaca tulisan Zulkifli Jalil dalam Utusan Malaysia, menggeleng kepala apabila membaca ulasan penulis tersebut yang memberikan label taktik ‘hit and run’ kerana pada pengamatan beliau, di dalam perjuangan politik dan kemerdekaan seluruh dunia, taktik ini diguna para patriot tatkala menghadapi segala jentera kerajaan yang zalim.

“Sewaktu Perang Dunia Kedua, para gerila pejuang penjajah seperti Force 136 di Malaya yang masuk ke Tanah Air dengan kapal selam, French Resistance di Perancis, gerila patriotik di Indonesia, Filipina, China dan banyak lagi menggunakan taktik ‘hit and run’,” ujar beliau dengan nada bersemangat. “Hari ini patriot di Palestin, Tunisia, Libya dan Mesir juga menggunakan taktik yang sama. Kenyataan penulis tersebut sebenarnya mengiktiraf bahawa para pembangkang adalah patriot.”

Menyentuh pula penjelasan pegawai Raja Nong Chik bahawa penduduk bukan sahaja mahukan wakil rakyat yang mendengar luahan hati tetapi mahukan wakil rakyat yang boleh membawa penyelesaian.

“Pakcik senyum kerana teringat waktu muda, masa zaman penjajahan British dan juga Jepun, hujah yang sama diguna tali barut penjajah, iaitu kami diminta jangan mendengar pembangkang yang ketika itu pejuang kemerdekaan, kerana hanya kerajaan British dan sebelumnya Jepun yang boleh membawa pembangunan, bina sekolah, bina jalan dan adakan program-program kemasyarakatan. Jadi saya nak tanya: Raja Nong Chik guna taktik propoganda penjajah kah?”

Pandangan seorang warga emas yang telah melalui pengalaman perjalanan sejarah negara mampu memberikan ‘gambaran besar’ kepada keadaan politik negara serta menilai hujah-hujah Raja Nong Chik yang terpaksa bergantung kepada Utusan Malaysia sebagai lidah rasmi beliau.

Ini disebabkan apabila segala risalah, media sosial dan program Raja Nong Chik gagal menaikkan profil seorang senator yang mahu mengambil nama di atas usaha jentera kerajaan yang memangnya patut berkhidmat untuk rakyat. Seperti skandal NFC yang beliau cuba perjelas kepada penduduk professional Bangsar – timbulnya taktik ‘Lembu punya susu, Sapi dapat nama’ yang beliau gunakan.

Pakcik yang sama juga ketawa besar apabila dibangkit ulasan penulis yang sama mengenai taktik wakil rakyat Lembah Pantai menggunakan gambar jalan berlubang yang di-MMS-kan, kemudian disahut SMS mengatakan ‘DBKL akan selesaikan’ sebagai menggunakan jalan pintas untuk selesaikan masalah.

“Itu bijak namanya. Bayangkan tugas asas pihak berkuasa seluruh dunia adalah memberikan perkhidmatan awam menggunakan cukai dan wang rakyat – seperti membaiki jalan berlubang, lif rosak dan sebagainya. Bukankah itu sememangnya tugas kerajaan?”

“Isu yang penulis sendiri tuliskan mengenai jalan berlubang sepatutnya menjadi tumpuan bukan cara wakil rakyat menarik perhatian kepada masalah tersebut. Kenapa cetek sangat hujah penulis yang berikan nama taktik ini sebagai ‘bashing’ yang pada saya ala propoganda ‘Bashar al-Assad’ saja yang diguna Raja Nong Chik.”

Mungkin penulis itu sedar masih banyak masalah yang wajib diselesaikan DBKL – yang dibawah tanggungjawab Raja Nong Chik – mesti di ‘tutup lubang masalah yang begitu besar’ dan bukan oleh wakil rakyat kerana Datuk Bandar adalah lantikan kerajaan dan bukan dipilih rakyat.

Mengenai taktik ‘menanam rasa benci’ yang di ‘pasak-pasakan’ ke hati rakyat terutamanya pengundi atas pagar yang tidak ada saluran meluahkan perasaan juga dilihat sebagai satu ‘freudian slip’ penulis tersebut yang secara tidak langsung mengiktiraf kebenaran bahawa memang rakyat benci kerajaan yang terbukti gagal mentadbir dengan berkesan ekonomi, sosial, pendidikan, pertahanan, dan keselamatan awam.

Seharusnya segala isu rasuah, hutang negara besar, defisit bajet yang bertambah, kemelesetan anggaran pertumbuhan KDNK, retorik rasis ketuanan Melayu, skandal NFC, PKFZ, KIDEX, SELEX, Scorpene, Istijuara dan seribu satu lagi kepincangan kerajaan yang sudah 55 tahun memerintah wajib diperjelas Raja Nong Chik dan juga Utusan Malaysia.

Tetapi sebaliknya, taktik ‘alih pandangan’ dengan hujah pembangkang membuat tuduhan tanpa memberikan bukti nyata palsu – kerana pertanyaan untuk dokumen, kenyataan dan penjelasan terhadap tuduhan-tuduhan malah di dalam Parlimen pun tidak diendah kerajaan. Jawapan yang diberikan terlalu ringkas, samar dan keluar dari topik terus mencerminkan kelicikan taktik ‘alih pandangan’ yang menjadi kegemaran kerajaan usang BN hingga bukan sahaja ia menjadi taktik ‘lidah bercabang’, tetapi ‘lidah terbelit perut sembelit’.

Dan menyentuh andaian penulis tersebut bahawa dua insiden di Lembah Pantai – program pemberian topi keledar percuma dan hasil tinjauan 3 jam yang hanya menghasilkan satu penemuan risalah BR1M yang menyaran rakyat ambil wang BR1M yang memang wang rakyat tetapi mengundi pembangkang – sebagai membuktikan pihak pembangkang tersepit, amat mengelirukan.

Taktik ‘kelirukan rakyat’ ini dengan menggunakan memori terpilih (‘selective memory’) gagal pula menyebut insiden-insiden yang ditimbulkan kerajaan BN dan Raja Nong Chik seperti melarang wakil rakyat sah menggunakan kemudahan awam seperti dewan dan menziarah masjid dan surau untuk kegiatan setempat, menghalang perjalanan bancian dan culaan daftar pemilih dengan membuat tuduhan palsu dan tangkapan petugas pejabat wakil rakyat dan yang paling ketara – insiden ‘Malam Berdarah Lembah Pantai’ pada 24 Mei 2012 di mana politik samseng BN membaling batu dan botol air mencederakan ramai hadirin termasuk seorang warga emas dan kanak-kanak yang memerlukan rawatan hospital, sengaja tidak disebut.

Mungkin ini adalah taktik ‘baling batu sembunyi tangan’ yang menjadi mercu identiti kerajaan BN yang sebenarnya kerana BN bukan lagi merasa tersepit tetapi terhimpit dengan igauan mendatang apabila segala perbuatan, kesalahan dan dosa-dosa memerintah 55 tahun akan diketahui umum serta kebenaran akan terdedah kepada rakyat dan dunia.

Kesimpulannya, taktik pembangkang bukan sahaja ‘hit and run’ seperti kata Pakcik Bangsar sebagai taktik para patriot di dalam menghadapi jentera kerajaan zalim, tetapi yang mesti dinamakan juga sebagai taktik ‘hit the target and BN falls’.

Fahmi Fadzil
Setiausaha Politik
Wakil Rakyat Lembah Pantai

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s