
See you at the next #KitaLawan “get-together”!
See you at the next #KitaLawan “get-together”!
KENYATAAN MEDIA
Kenyataan Pra-matang Najib Tentang Sirul Mencurigakan dan Wajib Disiasat
Kenyataan DS Najib Razak hari ini bahawa mustahil (“utter rubbish”) Sirul “bertindak mengikut arahan” (“acted under orders”) untuk membunuh Altantuya Sharibuu adalah satu kenyataan yang pra-matang, mencurigakan dan wajib disiasat Polis Di-Raja Malaysia.
Ini kerana DS Najib sebelum ini pernah mengaku malah bersumpah tidak mengenali wanita bernama Altantuya Sharibuu; jika benar beliau tidak mengenali dan tiada apa-apa kaitan, mengapa beliau memberi komen sebegini? Dan adakah beliau mempunyai maklumat lebih dari apa yang diketahui umum tentang perlakuan Sirul sehingga dapat memberi kesimpulan sebegitu?
Komen ini menimbulkan satu persepsi di khalayak ramai bahawa ada sesuatu yang tidak kena di dalam isu ini.
Sama seperti rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya juga berharap pihak berkuasa tidak akan berlengah untuk menyiasat perkara ini.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi
Naib Ketua Angkata Muda KEADILAN
19 Februari 2015
KENYATAAN MEDIA
Pertahan Paul Phua, Kredibiliti Zahid Terus Tercalar
Semalam kita dikejutkan laporan berita Malaysiakini yang berkata Paul Phua Wei-seng pernah ditangkap di Miri pada 2004 kerana terlibat dalam aktiviti perjudian bolasepak Euro 2004. Mengikut laporan tersebut, Paul Phua telah didapati bersalah dan dikenakan denda kerana kesalahan tersebut. Beliau seterusnya telah membayar denda dan meninggalkan negara ini.
Malaysiakini juga telah memetik sumber dalaman Polis Di-Raja Malaysia yang berkata bahawa Paul Phua adalah anggota kongsi gelap 14K.
Tatkala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan menjawab persoalan-persoalan penting yang dibangkitkan saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat berkaitan surat beliau kepada FBI mengenai kes Paul Phua di Nevada, Amerika Syarikat, media telah membantu mencari jawapan kepada beberapa soalan penting.
Keengganan DS Zahid untuk berterus-terang dengan rakyat Malaysia dalam isu semakin hari semakin mencalar kredibiliti beliau. Beliau sepatutnya lebih proaktif dan berdepan dengan pertanyaan-pertanyaan yang diajukan. Jika beliau tidak mahu, saya cadang agar beliau meletakkan jawatan secara terhormat.
Saya juga menggesa mantan Menteri-Menteri Dalam Negeri agar memikul tanggungjawab moral dan memberikan penjelasan sama ada mereka sendiri pernah menulis surat dengan proses yang sama seperti DS Zahid?
Saya berterima kasih kepada portal-portal berita yang berani menjalankan tugas sebagai estet ke-empat (“fourth estate”) dalam sistem demokrasi berparlimen demi mencari jawapan dan kebenaran, terutamanya dalam isu ini.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
27 Januari 2015
KENYATAAN MEDIA
Adakah DS Zahid Menteri Dalam Negeri Pertama Menulis Surat Kepada FBI?
Laporan berita Malaysiakini hari ini bertajuk “I never wrote to FBI, confirms Syed Hamid” telah memetik mantan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai berkata beliau tidak pernah menulis sebarang surat kepada pihak FBI seperti surat yang ditulis Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Laporan tersebut turut berkata bahawa mantan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Panglima Hishammuddin Tun Hussein juga tidak pernah menulis surat kepada pihak FBI seperti yang dibuat DS Zahid.
Maka ramai yang ingin tahu, adakah DS Zahid Menteri Dalam Negeri yang pertama untuk berbuat sedemikian? Adakah wujud satu “Standard Operating Procedure” (SOP) bagi menteri-menteri kabinet untuk menulis surat kepada mana-mana badan atau organisasi atas nasihat peguam yang bukan Peguam Negara, seperti surat yang ditulis DS Zahid ini?
Saya berdoa agar DS Zahid akan dikurniakan keberanian untuk menjawab soalan-soalan ini, dan tidak berselindung disebalik alasan teknik dan undang-undang kukubesi seperti yang dibuat sebelum ini.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap
Naib Ketua Angkata Muda KEADILAN
23 Januari 2015
KENYATAAN MEDIA
“Surat Sokongan” Rahsia: Siapa Bohong dan Siapa Bercakap Benar?
Saya rujuk laporan Malaysiakini “Zahid didn’t tell police about FBI letter” yang memetik sumber Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang berkata Menteri Dalam Negeri, DS Zahid Hamidi tidak merujuk pihak PDRM sebelum menghantar “surat sokongan” rahsia kepada FBI berkenaan status “raja judi” Paul Phua Wei-seng.
Laporan tersebut juga memetik sumber PDRM sebagai berkata laporan PDRM yang diberi kepada FBI berkenaan Paul Phua Wei-seng dan kumpulan kongsi gelap 14K adalah benar.
Jika sumber yang dipetik Malaysiakini itu sahih dan benar, perkara ini cukup mengejutkan dan implikasinya amatlah berat bukan sahaja kepada DS Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri yang telah menulis surat rahsia tersebut, tetapi juga kepada DS Shafee Abdullah yang telah berkata bahawa laporan PDRM mengenai Paul Phua Wei-seng adalah tidak betul.
Masanya telah tiba untuk DS Zahid Hamidi menjawab secara terbuka tentang pelbagai isu yang telah timbul akibat “surat sokongan” rahsia ini, untuk mengelak spekulasi dari terus bermain di fikiran rakyat Malaysia. Saya juga berharap DS Najib dan Kabinet yang akan bertemu esok (Rabu) akan pastikan DS Zahid akan tampil dengan jawapan yang jelas kepada isu ini.
Pada masa yang sama, jika sumber PDRM yang dipetik Malaysiakini ini sahih dan benar, DS Shafee Abdullah juga perlu disoal mengapa apa yang beliau sebut berlainan dari apa yang disebut sumber PDRM ini. Siapakah yang benar dalam isu ini?
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap Naib Ketua AMK
6 Januari 2015