Berikut adalah amaran dari Ketua Polis Kuala Lumpur kepada rakyat Malaysia yang ingin berkumpul di luar Mahkamah Jalan Duta pada 9hb Januari 2012, sempena keputusan kes Dato Seri Anwar Ibrahim.
Untuk bacaan lanjut, sila ke laman Facebook PDRM.
Bagi saya, persoalan yang timbul ialah pada ayat-ayat: “perbuatan (menyeru orang ramai supaya menyertai perhimpunan 901) akan mengundang berlakunya pelanggaran undang-undang, menggugat ketenteraman awam dan menghina pentadbiran sistem keadilan negara.”
Dari sudut perundangan, adakah pihak PDRM mempunyai kuasa untuk menakrif atau menginterpretasi situasi yang belum berlaku (“901″), seperti sebuah mahkamah?
Atas dasar apakah pihak Polis Kuala Lumpur menetapkan bahawa perhimpunan tersebut, jika benar-benar akan berlaku, bakal “menggugat ketenteraman awam”? Secara polemik, jika dikatakan pihak polis menetapkan yang sedemikian berdasarkan kepada laporan polis 168 NGO, adakah ini sudah mencukupi untuk pihak Polis Kuala Lumpur membuat kenyataan yang bersifat “preventive”?
Walhal bukankah kenyataan sedemikian melanggar hak rakyat Malaysia untuk berkumpul dan bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan?
Jika dibangkitkan Fasal (2)(b) dalam Perkara 10, bukankah perlu dibuktikan di mahkamah bahawa tindakan berkumpul pada 901 itu memang akan menyebabkan apa yang diangin-anginkan pihak Polis Kuala Lumpur? Atau adakah pihak Polis Kuala Lumpur berkuasa menakrif Fasal (2)(b) yang disebutkan sebelum ianya telah berlaku?
